Zaffan Khalid

Kehidupan Adalah Satu Perjalanan, Perjalanan Seorang Hamba

Subscribe to Zaffan Khalid

Kelas: `Seni` di Pekan Sehari

“Cikgu, apa yang perlu kami bawa untuk kelas seni minggu hadapan?”

“Bagus! Pelajar proaktif”, sambil tersenyum cikgu memuji.

Bersinar-sinar mata si pelajar. Kembang kempis dadanya. Berazam untuk menjadi yang pertama bertanya untuk kelas-kelas seni seterusnya.

“Saya ingin berikan tugasan. Kamu semua perlu ke pekan sehari pada hari Ahad nanti. Ada apa-apa soalan lagi?”, tanya cikgu.

“Selain tugasan, apa yang perlu kami bawa untuk kelas seni?”, soal si pelajar yang kurang berpuas hati.

“Tidak perlu bawa apa-apa. Cukup sekadar memori di pekan sehari”,  cikgu menamatkan bicara.

Si pelajar tergaru-garu kepala yang tidak gatal.  “Entah apa pula idea cikgu pada kali ini. Suspen sungguh”, hati kecilnya bersuara.

Kelas Seni

“Baiklah, sebelum kita memulakan pembelajaran pada hari ini, elok cikgu bertanya terlebih dahulu. Apakah semua orang menyiapkan tugasan yang cikgu berikan?”.

Kelas sunyi sepi. Riak muka pelajar ditatapnya satu persatu. Pelbagai!

“Cikgu bertanya sekali lagi, apakah kamu semua menyiapkan tugasan yang diberikan?”. Nada cikgu tetap sama. Tidak berubah sedikit pun.

Seorang pelajar mengangkat tangan. Jelas wajahnya ketakutan.

“Saya tidak menyelesaikan tugasan cikgu”, jawabnya tersekat-sekat.

“Mengapa kamu tidak dapat menyelesaikannya?” soal cikgu.

“Saya terlajak tidur pada pagi Ahad selepas solat Subuh. Apabila terjaga, mak dan ayah sudah pulang dari pekan sehari. Bahkan, pekan sehari sudahpun tamat kerana telah menjelang tengahari”, si pelajar menerangkan situasi, bukan memberikan alasan untuk melarikan diri.

sumber

Pelajar-pelajar lain sakit perut menahan gelak. Terlajak tidur itu biasa!

“Ada idea? Apakah hukuman yang sewajarnya cikgu berikan kepada individu yang tidak menyiapkan tugasan?” suara cikgu dikuatkan sedikit.

“Ketuk ketampi!”

“Berdiri atas kerusi!”

“Berdiri luar kelas!”

“Terima kasih atas cadangan semua”, ujar cikgu kepada seisi kelas.

Cikgu menghampiri pelajar yang berdiri. Mata cikgu tepat memandang matanya. “Memandangkan kamu jujur membuat pengakuan, maka hukuman buat kamu terbatal. Lain kali jangan ulang lagi ya anak muda”, ucap guru itu khusus buatnya. Namun, cukup jelas didengar oleh pelajar-pelajar yang lain.

“Sekalipun dia tidak sempat untuk ke pekan sehari, dia masih boleh belajar pada hari ini. Pengalaman-pengalaman kamu semua akan menjadi gurunya. Baiklah, kita mulakan sesi pembelajaran seni sekarang”.

Pembelajaran Seni

“Kamu sudah ke pekan sehari bukan? Jadi cikgu ingin kamu nyatakan, apakah `seni` yang kamu lihat, dengar ataupun rasa semasa di pekan sehari?” soalan dilontarkan.

Berkerut-kerut dahi para pelajar memikirkan `seni` di pekan sehari.

Bangun pelajar yang duduk paling belakang. Pelajar paling berseni di dalam kelas. Penuh yakin menjadi yang pertama menceritakan `seni` di pekan sehari.

“Saya meneman emak ke pekan sehari. Emak singgah di tapak jualan seorang mamak untuk membeli serbuk kari. Selama ini, saya ingatkan serbuk kari hanyalah berjenama Adabi. Namun, serbuk kari ini dicampur oleh mamak sendiri. Beberapa balang rempah penuh terisi. Mamak mencampurkan beberapa jenis rempah yang berbeza. Pelbagai warna, bau dan rasa. Merah, jingga, kuning. Harum dan pedas. Setiap rempah punya sukatan yang tersendiri. Saya yakin, sukatan itu adalah sesuka hati. Dari hati mamak yang pakar kari”, tangannya bergerak-gerak membuat aksi si mamak.

“Kemudian mamak menggoncangkan plastik berisi campuran rempah ke kanan dan ke kiri. Goncangan dengan gaya tersendiri. Penuh berseni!”, seluruh kelas memberikan tepukan buatnya. `Seni` di pekan sehari yang pertama untuk kelas pada kali ini.

sumber

“Terima kasih. Bagus sekali. Seterusnya?”

Bangun seorang anak muda. “Cikgu bilang, tidak perlu bawa apa-apa ke kelas seni, hanya memori. Namun, memori saya bukan sekadar disimpan dikepala, turut ditangkap oleh kamera”, ujarnya sambil mengeluarkan beberapa keping gambar.

Bergeraklah seluruh kelas mengampiri mejanya. Melihat-lihat memori yang ditangkap.

sumber

“Berikut adalah gambar-gambar udang yang terdapat di pekan sehari. Udang-udang ini mempunyai corak yang berbeza-beza pada kulitnya. Jalur-jalur pada udang menarik perhatian saya. Corak yang unik lagi harmoni. Tidak sakit mata memandangnya. Bahkan terpesona! Membawa ingatan kepada Yang Maha Mencipta. Hebat! SeniNya tiada tandingan”, ujar yang menangkap gambar penuh perasaan.

“Bagus sekali. Bahkan menunjukkan betapa kasihnya Yang Maha Mencipta. Mengurniakan pelbagai jenis udang untuk selera hamba-hambaNya”, sambil tersenyum cikgu menambah ulasan.

Sesi pembelajaran diteruskan. Satu persatu pelajar bangun dan menceritakan `seni` di pekan sehari. Hampir separuh kelas sempat bercerita. Selebihnya akan disambung dikemudian hari kerana masa mencemburui.

“Baiklah, apakah semua orang jelas dengan apa yang kita belajar pada hari ini? Yang tersurat dan tersirat?” soal cikgu sebelum meninggalkan kelas.

“Faham cikgu”, serentak suara para pelajar.

“Maafkan saya cikgu, saya tidak faham. Apakah sebenarnya yang kita belajar untuk kelas seni pada kali ini. Sungguh saya tidak faham sama sekali”, bangun seorang pelajar yang jujur mengakui. Wajahnya kusut, resah sekali kerana tidak memahami.

“Kamu ambil masa untuk fikirkan dahulu. Kita akan bincang dilain masa. InsyaAllah”, cadang cikgu.

Sudut Pandang

“Apakah kamu sudah dapat jawapan bagi persoalan kelas seni tempoh hari”, tegur cikgu.

“Masih belum. Berhari-hari saya memikirkannya. Menemui jalan buntu”, jawab pelajar lemah.

“Mencari jawapan perlu kepada perbincangan. Berfikir sendirian boleh menyebabkan diri gila!”, tersenyum cikgu mengusik.

“Apa yang pasti, pembelajaran seni pada minggu lepas adalah pelbagai. Tidak khusus pada satu perkara sahaja. Bergantung pada penerimaan para pelajar”, cikgu memulakan perbincangan.

“Maksud cikgu, pelajar bebas mentafsir apa yang mereka dapat ketika di dalam kelas?”.

“Tepat sekali. Selain berbicara tentang `seni`, ada yang mengaitkannya tentang kebesaran Yang Maha Esa. Subjek seni menjadi subjek pendidikan agama pula”.

Tersenyum pelajar mendengarnya. Kopiah dikepala dibetulkan.

“Ya, saya dapat terima perkara tersebut. Namun, pasti tugasan yang cikgu berikan punya objektif yang tersendiri. Cikgu pernah bilang, apa yang cikgu lakukan adalah tidak sia-sia. Pasti punya tujuan yang tersendiri. Tujuan yang baik-baik sahaja kan?” kini giliran pelajar mengusik cikgunya.

“Kamu bijak sekali”. Cikgu membetulkan kaca matanya.

“Objektif tugasan ialah berkaitan sudut pandang. Manusia mempunyai sudut pandang yang berbeza-beza. Siapa diri kamu akan menentukan sudut pandang kamu. Sudut pandang kamu akan menentukan apa yang kamu dapat”, tenang cikgu menerangkan.

who you are determine what you see

“Jadi, itulah latihan yang cikgu cuba terapkan semasa tugasan ke pekan sehari? Cerita-cerita `seni` tersebut hanyalah untuk melihat sudut pandang para pelajar. Begitu?”.

“Ya, antaranya. Selain itu, ketika cikgu belajar seni bina dahulu, kami di ajar untuk melihat dari pelbagai sudut. Think out of the box. Lagi pelik lagi bagus! Walaupun ke pekan sehari, tidak membataskan kepala untuk tetap `berseni`. Walau di mana sahaja”, cikgu menerangkan konsep seni yang cuba diajarkan.

“Hamka sendiri menulis karya agungnya ketika di dalam penjara. Inspirasi seni itu tidak kira tempat ataupun masa. Ianya milik Allah”, tambah cikgu lagi.

“Maka tidak hairanlah apabila udang hatta mamak yang membuat kari pun boleh memberikan inspirasi seni!”, seronok si pelajar meluahkan pendapatnya. Semakin memahami apa yang berlaku di dalam kelas tempoh hari.

“Saya bersetuju dengan kamu. Saya berikan satu contoh. Bayangkan kamu seorang arkitek, apakah yang akan kamu `lihat` pada sebuah bangunan?” soal cikgu menguji.

“Pasti cikgu tidak menyoal saya sia-sia. Pasti punya kaitan dengan perbincangan kita”, tersenyum si pelajar memahami helah cikgu seninya yang licik.

“Sebagai seorang arkitek, saya `lihat` bangunan dalam beberapa bentuk. Pertama, bangunan adalah ibarat sebuah kemegahan. Menimbulkan rasa riak dan bangga buat arkitek yang merekanya. Kedua, bangunan adalah wang. Projek membinanya menelan kos berjuta-juta. Kaya! Ketiganya, bangunan adalah kehidupan buat penggunanya. Bangunan itu menggembirakan dan memuaskan hati mereka yang mendiaminya. Saya boleh menjadi arkitek yang pertama, kedua ataupun ketiga. Masing-masing mempunyai sudut pandang yang berbeza”, jawab pelajar.

“Kamu boleh menjadi arkitek yang mempunyai ketiga-tiga sudut pandang sekaligus”, cadang cikgu.

“Boleh memang boleh. Cuma perlu pandai meletakkan prioriti”. Itulah kata-kata pelajar yang cukup berhari-hati.

“Jadi, kamu faham apa yang kita belajar di dalam kelas tempoh hari?” soal cikgu sebelum berlalu pergi.

“Alhamdulillah, saya sudah faham. Terima kasih cikgu”. Tangan cikgu disalami.

“Boleh saya bertanya satu soalan peribadi sebelum cikgu beredar pergi?”.

Cikgu mengangguk dengan senyuman.

“Mengapa cikgu tidak memilih untuk membina bangunan?”

“Bukan cikgu tidak mahu, tetapi belum mahu. Cikgu mahu membina manusia dahulu”. Senyum cikgu. Senyuman yang dalam.

ZaffanKhalid

14 Disember 2009

  1. uncle Said,

    well done “cikgu” zaffan.
    buat cikgu-cikgu yang lain teruskan usaha anda mendidik anak bangsa tanpa kenal penat dan jemu.

  2. udon Said,

    salam.

    aktiviti masa lapangkah? atau sepenuh masa, sementara menanti ke’mahu’an yang tak kunjung tiba? heh.

  3. Lailatulema Said,

    Assalamualaikum

    penuh tersirat, tiada siapa yang tahu isi hati melainkan Pemilik hati tersebut. Moga zaffan dilorongkan pada jalan-jalan kebaikan dan sentiasa memberi.Ameen.

    jaga diri jaga iman zaffan.doakan kami di sini juga :)

  4. ken Said,

    salam,
    saya menyinggah lagi..
    “sesungguhnya membina sesuatu sudut pandang yg positif dan pelbagai..memerlukan latihan dan pembelajaran serta panduan….” melihat dr kacamata hati berpandukan petunjuk Nya…utk membina sudut pandang positif..

    walaupun ia sukar, tersembunyi..tapi dengan kesabaran dan masa …ia sgt bermakna pada akhirnya….

    go!go1 cikgu zaffan…be more creative and teacher out of the box..kayh!!
    inshaAllah

  5. admin Said,

    Salam semua, Terima kasih. Sama-sama mendoakan antara satu lain. Moga kekal istiqamah mencari redhaNya.

  6. azharinho Said,

    ya lah…tapi murid saya selalu dengan sengaja tidak membawa baju sewaktu kelas pj…alasan yang mereka berikan juga tidak munasabah…saya juga yang sakit hati…wahai pelajar,niat saya baik…tolong lah cikgu ni…..

Add A Comment