Jom Upgrade: 251109
Sunnahtullah menetapkan bahawa kehidupan manusia itu berubah-ubah. Daripada seorang bayi menjadi anak kecil yang seterusnya meningkat dewasa. Orang dewasa yang dikurniakan tenaga dan kecergasan tidak boleh alpa kerana masa tua sedang menunggu setia. Akhirnya, dijemput Izrail ke alam seterusnya sehinggalah kekal di dalam neraka ataupun syurga. Begitulah Allah tetapkan sunnah kehidupan yang tidak statik. Maka statik itu perlu dielakkan. Statik itu membosankan.
Pepatah Arab menyebut air yang statik itu akan bertakung dan busuk. Saya setuju! Andai kehidupan terlalu senang, mula leka dan alpa, kita berada dalam paras bahaya. Comfort zone yang menyebabkan kita diabetik. Keluarlah daripada rasa selesa. Keluar mencari cabaran mencabar diri. Syaratnya, mohon selalu pada Allah agar cabaran tidak memakan diri. Allah tidak pernah meninggalkan hambaNya. Cuma kadangkala hamba menipu diri sendiri dan terus terpedaya.
Sejak kepulangan dari luar negara, saya telah membuat keputusan untuk duduk di rumah sahaja dahulu. Ini bukan keputusan sehari dua. Ini keputusan setelah berfikir panjang, menilai dan mencari jawapan. Setelah keputusan dibuat, ada yang bertanya, “Goyang kaki duduk rumahlah ye?”.
Saya senyum sahaja. Saya resah juga apabila ditanya sedemikian rupa. Saya pause dan fikirkan. Saya mencari jawapannya walaupun saya sudah membuat keputusan pada awal lagi. Bukan untuk menjawab soalan beliau. Jawapan buat diri sendiri yang saya sayangi. Jawapan ketika ditanya ketika bertemu Allah kelak. Jawapan ya, bukan alasan. Berbeza tu. Jawapan itu meyakinkan diri. Alasan itu cuba meyakinkan orang lain. Mana lebih utama, diri sendiri atau orang lain? Anda jawab sendirilah ya.
Mula-mula mungkin alasan, tidak mengapa, terus bertanyakan pada diri. Lama-lama akan jumpa jawapan. Jawapan yang memberikan keyakinan pada diri. Jawapan yang bakal menentukan setiap tindakan kita. Selalunya kita sandarkan tindakan kerana Allah Taala. Berhati-hatilah. Biar sandaran itu kukuh, andai rapuh, mudah tergelincir. Naudzubillah.
Namun, jangan resah mencari jawapan. Fikir, usaha dengan ilmu dan doa. Apabila masa yang ditakdirkan Allah tiba, kita akan jumpa jawapannya. Pernah ada perasaan jumpa jawapan dalam buku teks semasa peperiksaan disekolah dahulu. Bagaimana perasaannya? Hebat bukan? Bahagia bukan kepalang. Penuh tenaga. Alhamdulillah! Begitulah. Don`t worry too much, you will find the answer, my mom said, just keep on praying. Solat yang baik itu akan menunjuk jawapan. Jawapan sudah ada dalam hati yang suci!
Selepas memulakan langkah untuk mencari kerja di luar. Dengan izin Allah pintu rezeki lain terbuka luas. Rezeki itu macam-macam ya. Bukan duit jatuh dari langit. Opps…
Salah satunya ialah beberapa insan secara peribadi memberikan penghargaan buat saya tentang blog ini. Penghargaan mereka membuatkan saya gembira. Alhamdulillah mereka menjaga kaedah menghargai dengan memuji. Namun seperti kata-kata saya di atas, tidak boleh selesa! Lalu saya fikirkan bagaimana untuk menghargai kata-kata mereka. Membawa diri di hujung minggu lepas menemukan saya dengan jawapannya. Jawapan yang cukup kuat memberkas di dada. Tatkala saya nyatakan niat itu pada mama, pertama kali mama mendengar kata-kata saya dengan baik sekali. Pertama kali mama pandang tepat wajah saya. Memandang dengan mulut sedikit terbuka. Mama siap memberikan pandangannya. Alhamdulillah. Siapa yang lebih kenal anak sendiri jika tidak ibunya bukan? My family is the best team ever. Andai hendak hebat membina kumpulan di luar, berkumpulanlah dengan hebat dengan ahli keluarga sendiri. Bagaimana? Zaman kini orang semakin kreatif, gunakanlah kreativiti masing-masing. Jangan larikan diri daripada keluarga dengan tidak berfikir panjang serta bersabar. Keluarga sentiasa menjadi ujian utama buat para pendakwah. Keluarga mad`u kita. Hati-hati andai ada yang momokkan anda dengan istilah, “tinggalkan keluarga untuk berdakwah”. Tidak boleh pakai punya istilah. Naudzubillah. Tolonglah Allah, kami hamba yang lemah.
Saya umumkan inilah projek pertama selepas bergelar graduan seni bina. Architects love projects. Arkitek barat mengajar saya bahawa projek yang mantap adalah yang utama, duit kemudian kira. Tapi saya kurang minat membuat projek bangunan. Mari kita berprojek dengan tulisan! Skectbook saya dahulu pun penuh dengan idea yang mengujakan tutor, tapi lukisannya sedikit mengecewakan. Walaupun sedih ketika itu, kini saya bergembira. Kerana saya mula nampak kekuatannya di mana. At least for now insyaAllah.
Ringkasnya, jika dahulu saya menulis blog kerana ingin menyampaikan mesej. Saya ingin upgrade blog ini agar menjadi medan saya menulis yang utama.Menyampaikan mesej dengan fokus dan berstrategi. Itulah cara saya untuk hargai nikmat blog yang Allah kurniakan ini. Permulaannya ialah saya akan menetapkan prinsip dalam menulis. Prinsip yang sudah ada tetapi terapung di sini sana. Lalu saya tangkap dan abadikan dalam blog ini. Biar dekat, biar lekat.

Add A Comment