Zaffan Khalid

Kehidupan Adalah Satu Perjalanan, Perjalanan Seorang Hamba

Subscribe to Zaffan Khalid

Buku: Menyelami Hati Lelaki

“Uncle kena baca buku ini. Sekali baca, tak mahu letak balik”.

Tersenyum pak cik India-Muslim mendengar saranan saya.

Begitulah lebih kurang dialog antara saya dan pemilik salah sebuah kedai buku di Jalan TAR. Semangat yang entah datang dari mana sehinggakan saya cukup teruja untuk berkongsi cerita.

Itu kali ketiga saya ke Jalan TAR untuk mendapatkan buku Nota Hati Seorang Lelaki. Selepas hampa beberapa kali kerana stok sudah habis, akhirnya tiga buah buku berjaya didapatkan jua. Semuanya sebagai hadiah. Hadiah buat ayah. Hadiah buat sahabat yang baru bernikah. Hadiah pada hari bersejarah.

Nota Hati Seorang Lelaki di Mata Saya

Secara ringkasnya, buku ini dibahagi kepada empat bahagian. Nota hati seorang anak, ayah, suami dan pendakwah. Setiap bahagian memuatkan pelbagai kisah yang ringkas namun cukup manis. Short, sweet and beautiful! Setiap nota cukup bermakna. Satu persatu nota akan dibaca tanpa rasa ingin berhenti di antaranya.

Setiap nota bukan sarat dengan fakta, tetapi cerita yang mengeyangkan emosi. Cerita untuk lebih mengenali manusia lalu membawa ingatan kepada Pencipta. Cubalah, anda akan rasa selepas melangkah dari satu nota ke nota seterusnya. InsyaAllah.

Buku hanyalah medium penyampaian ilmu. Walaupun buku ini tidak bersifat ilmiah, namun penuh hikmah. Buku yang ditulis berdasarkan pengalaman. Pengalaman yang jarang-jarang dikongsikan.

Hanya Untuk Lelaki?

Pada awalnya, saya juga mempunyai pemikiran yang sama. Apakah hanya sesuai dibaca oleh lelaki sahaja? Namun apabila difikirkan sejenak, lelaki dan wanita itu saling berkait. Lelaki dan wanita itu berpasangan. Saling memerlukan.

Bacalah wahai lelaki. Pesanan penulis buku; Jadilah lelaki yang menjadikan akidah sebagai akar jati diri, syariat sebagai kompas hidup dan akhlak sebagai senjata diri. Inilah yang cuba digarap oleh penulis dalam mentafsirkan gelanggang kehidupannya sebagai anak, suami dan ayah.

Bacalah wahai wanita. Pesanan saya; Wanita berperanan sebagai anak perempuan yang solehah buat ayahnya seperti Siti Fatimah. Wanita peyokong utama buat suami agar sentiasa lurus di jalan Allah laksana Siti Khadijah. Wanita pendidik terhebat buat anak-anak lelakinya seperti Maryam ibu Nabi Isa a.s. Renungkan nota-nota yang ditulis lalu muhasabahlah dimana seorang wanita dalam nota tersebut.

Salah sebuah nota telah saya kongsikan di sini. Cubalah membacanya. Pra-kata buku tersebut juga boleh dibaca di sini. Pra-katanya sudah cukup indah untuk kita muhasabah. InsyaAllah.

Semoga bermanfaat. Selamat membaca!

Kehidupan adalah sebuah perjalanan,
perjalanan seorang hamba.

ZaffanKhalid
9 November 2009

  1. lili Said,

    salam alaik kak zaffan. ringkas nye rumusan buku ni… buku baru ke ni?

  2. admin Said,

    salam

    lili boleh baca contoh tulisan serta pra-kata buku untuk ulasan lebih panjang

    buku agak baru..Pesta buku baru ni diterbitkan

  3. kak izi Said,

    Salam zaffan,
    suka pulak kak izi membaca pra-kata buku ni. Sangat bermanfaat utk the whole family.
    Tak de plan nk jual buku ni ke? hehe….

Add A Comment