Softskills: Tulislah Andai Sukar Untuk Melafazkan
Saya tidak pasti apa dalam fikiran mereka. Dipaksa atau terpaksa untuk hadir ke program WoWeeS, Wonderful Weekend at Shahpekan. Seawal jam 7 pagi mereka sudah sedia duduk bersila di surau sekolah menanti slot pertama dimulakan. Sementara menunggu projektor dipasang, wajah adik-adik yang pertama kali saya jumpa, ditatap secara rawak. Sukar untuk saya ramal, apakah yang mereka harapkan.
Cara mudahnya, saya minta mereka tulis harapan di atas sekeping kertas. Kertas kosong yang akhirnya menjadi penuh bermakna. Sehelai demi sehelai kertas saya selak.
”Saya ingin memotivasikan diri”
”Saya ingin mengenali rakan-rakan lebih rapat”
Atau sekurang-kurangnya….
”Saya dapat menghabiskan masa ke program daripada membuang masa di dorm semasa hujung minggu yang membosankan.”
Sekeping kertas cukup menarik perhatian saya. Tulisan seorang pelajar lelaki. Niatnya ke program seperti berikut:
”Saya berharap selepas program ini, saya tidak lagi mencuri, saya berhenti merokok dan saya tidak lagi fly dari sekolah.”
Moga Allah bersama kamu. Moga niat kamu yang penuh harap serta jujur ini dimakbulkan dengan keberkatan Ramadhan.
Saya sedar, betapa besar harapan mereka. Sekalipun baru tingkatan dua, jangan pernah memandang kecil apa yang mereka rasa.
Membunuh Potensi Diri
Setiap kali saya memanggil para pelajar untuk memberikan pendapat, amat sedikit yang tampil ke hadapan. Kebanyakkanya perlu saya jemput. Perlu saya pujuk.
Namun masih ada yang berani. Tetapi suara-suara sumbang dari rakan-rakan mengiringi.
Mungkin inilah yang membunuh potensi diri untuk berani bersuara, berani berpendapat. Ada sahaja suara-suara sumbang `mengejek`dari belakang. Ada sahaja yang suka menggelakkan andai soalan ditanya.
Situasi ini sudah saya jangka dari awal. Lalu cara yang biasa diubah. Hadiah disediakan buat mereka yang menjawab soalan. Bukan hadiah lumayan. Sekadar button badge dan poskad yang disponsor oleh iluvislam.com. Sesungguhnya teknik ini berjaya. Berebut-rebut mereka mengangkat tangan. Namun, jawapannya pula tidak memberangsangkan. Aduh.Jawapan yang sama diulang-ulang. Terlalu fokus untuk rebutkan hadiah tanpa berfikir sebelum memberikan pendapat. Tidak mengapalah, sekurang-kurangnya mereka berani untuk memberikan pendapat. Sekurang-kurangnya buat permulaan ini.
Tulisan Yang Tidak Disangka-sangka
Kata-kata boleh menggetarkan jiwa. Namun kadangkala sukar untuk melafazkannya.
Semasa slot terakhir, saya berharap benar untuk mendengar komen serta kritikan daripada adik-adik. Andai bermanfaat nyatakan. Andai membosankan dan tidaksesuai dengan jiwa, lontarkan. Sungguh saya tidak mahu syok sendiri berceloteh di depan mereka tanpa muhasabah.
Peluang diberikan untuk mereka luahkan. Ternyata, tidak mendapat sambutan. Sedikit hampa. Tidak mengapalah, borang muhasabah diedarkan. Ruangan cadangan serta komen disediakan.
Sekali lagi, setiap helaian diselak satu persatu. Ternyata bukan mereka tiada perasaan. Bukan mereka tidak fikirkan. Cuma mereka barangkali tidak mampu untuk ke depan dan luahkan. Mungkin segan. Mungkin tidak berani. Namun, akhirnya semua menulis di dalam borang. Tulisan yang tidak disangka-sangka.
Seorang pelajar lelaki menulis:
”Jujur, selama saya berada di sekolah, selama dua tahun saya di sini, inilah program paling best yang pernah saya hadir cuma lebih baik jika dilakukan pada bulan lain.”(mahu makan-makan barangkali)
Alhamdulillah. Betapa gembiranya hati saya. Gembira kerana mereka gembira. Itu sahaja.
Ada juga yang meluahkan:
”Sayang akak”…………Saya sayang kamu semua juga!
Juga daripada pelajar lelaki tingkatan dua. Sungguh saya tidak sangka. Hanya berceloteh dan berkongsi dengan mereka dalam empat slot serta mengendalikan beberapa aktiviti dan permainan sudah mula melembutkan hati mereka. Allahuakbar. Tiada kekuatan melainkan Allah.
”Saya nak baik dengan mak saya” ini pula tulisan seorang pelajar puteri usai program. Betapa saya tidak menyangka, program yang serba sederhana dan back to basic memberikan suntikan semangat untuk si kecil bertindak. Moga Allah memberkatimu.
Tulislah Untuk Meluahkan Sementara Punya Masa
Walaupun mereka tidak berkata-kata atas pelbagai faktor. Tidak bererti mereka tiada perasaan. Segalanya tersimpan, terbuku dalam hati. Pandai-pandailah kita cungkil agar suara hati manusia dapat dibaca.
Buat diri sendiri juga, kadangkala amat sukar untuk meluahkan perasaan serta masalah. Takut membebankan orang lain. Sukar mencari orang yang boleh memahami. Selain mengadu padaNya, tulislah. Menulis melegakan. Menulis muhasabah diri.
Saat penantian adalah pencarian diri.
Semoga berjumpa lagi insyaAllah.
Zaffan Khalid
25 Ramadhan 1430
14 September 2009
WoWees 2009

Assalamualaikum Zaffan,
Posting kali ni menyentuh perasaan kak.
Wassalam
kalau dekat fb ada ikon like..tp kat blog takde
saya suka ambil pengajaran dari setiap tulisan kamu…
Assalamualaikum zaffan yg dirindui, yg jauh di mata dekat di hati
masyaAllah, seronok mendengar cerita kamu. moga sentiasa thabat dan istiqamah dalam memberi.
menulis…. memberi seribu makna di kala kata-kata tidak mampu mengubah apa-apa
selamat! moga Allah permudahkn segalanya ZAFFAN!
p/s:buku sudah dpt ke???
wassalam wbt kak nisha…..perasaan seorang ibu barangkali..lebih memahami
irma…terima kasih..lets learn from each other..tapi, tulisan saya hanyalah pengalaman dan cerita kehidupan
lailatulema….amin ya rab. semoga Allah permudahkan!…buku akan diperiksa kemudian.
Add A Comment